2.8 Jalan kita sama (Amal muntij) September 24, 2009
Posted by abuabubakr in 2. j a l a n k i t a s a m a.trackback
Memikirkan amal muntij, saya tertanya-tanya diri sendiri, mengapa perlu ada amal yang dikelaskan dalam amal ‘kelas muntij’? seolah-olah amal itu ada taraf-tarafnya. Bagi saya amal itu satu. Amal. Cukup.
Amal itu satu, satu sahaja, semuanya satu kelas. Semuanya kerana Allah! Maka dengan itu tiada kelas amal yang lain. Muntij dan tidak muntij, sohih atau dhoif. Semuanya satu. Bagaimana?
Maka kalau amal itu kerana Allah, dan aamil (orang yang beramal) itu faham apa erti ‘saya beramal kerana Allah’, maka amal itu satu. Amal itu kerana Allah. Tiada muntij dan tidak, tiada dhoif dan sohih, tiada hasanah dan dholalah! Tapi kalau tidak faham?
Soalnya kalau tidak mengerti… apa erti “saya beramal kerana Allah”. Maka ketika itu pemahaman amal sudah berubah. Jadi mungkin, perlu difahamkan si aamil itu dengan berperingkat. Pertama. apa amal dholalah dan apa amal hasanah?
Ya, yang hasanah itu mendapat pahala menuju ke syurga, menempah redho Allah!. Yang dholalah itu mendapat dosa, menuju neraka mengundang murka. Kan mudah? Setelah itu apa?
OoOoo.. setelah itu .. kalau amal itu semuanya sudah hasanah, di dalamnya mungkin, terkandung yang sohih (betul caranya, dan mengikut prioritas) dan mungkin juga terkandung yang dhoif (lari prioritasnya). Lalu apa bezanya? Kedua-duanya sama sahaja. Kedua-duanya mendapat pahala menuju ke syurga, menempah redho Allah. insyaAllah. Lalu bezanya di mana? Bezanya cuma yang dhoif itu mendapat pahala sedikit, statik atau sekali sahaja, atau satu unit sahaja dari saham-saham di akhirat nanti. Sedangkan yang sohih itu mendapat pahala yang berganda-ganda, gandaannya jauh lebih besar daripada amalnya. Barokahnya berterusan, pahalanya mengalir macam sungai. Tak henti-henti, namanya agong di akhirat nanti. Sahamnya naik tidak kunjung turun. Mau kah? Kalau mau, ngertikan dulu mana yang sohih dan mana yang dhoif. Udah, jangan kau habiskan masa untuk yang dhoif, terus sahaja habiskan tenagamu untuk yang sohih. Namun, amal yang dhoif itu jauuuuuuh lebih, baiknya dari tidak beramal!. Iya iya.. aku ngerti, aku pilih yang sohih. Setelah itu habis?
Setelah itu tidak habis juga… amal yang sohih itu masih pelbagai. Wah, susah ya untuk beramal?. Tidak juga. Kalau kau merasa susah. Cukup!. Kau berhenti setakat ini sahaja. Paling kurang, engkau beramal dan amalmu sohih-sohih semua. Tapi, kalau kau mau, ada lagi yang lebih hebat. Mendapat pahala amal sohih tadi di akhirat, yang tak kunjung-kunjung habis hebatnya, dan juga mendapat pahala di dunia. Pahala dunia?
Pahala dunia itu adalah kemenangan dan keberhasilan. Ya, udahlah. Aku tidak mau berbahas mengenai ini. kerana menang atau kalah, berhasil atau tidak, itu ditentukan Allah. Ya benar. Tapi kalau kau mau, aku tunjukkan satu lagi amal… yang dengannya kau tidak terkalahkan. Ya, itulah amal yang muntij. Amal yang muntij itu, seperti hijrahnya Nabi S.A.W. Datangnya setelah amal yang hasanah, setelah amal yang sohih. Hijrahnya Nabi S.A.W. itu sudah tentunya hasanah, kerana perintah Allah. Sudah tentunya sohih, kerana mengikut prioritas (dari segi masa dan sebagainya). Namun akhirnya untuk sebuah perjalanan yang agong itu, Nabi S.A.W. menyusun strategi, dengan pelbagai bentuk strategi. Dari awal hingga ke akhir. Sehingga Allah mengizinkan hasilnya, dengan kehendak-Nya. Nah, amal hasanah, yang sohih dan berstrategi, atau yang sohih dan bijaksana/berhikmah itulah yang disebut muntij. Dan itulah amal yang sempurna, cukup ihsannya kerana Allah S.W.T.
waAllahua’alam
Comments»
No comments yet — be the first.